Lagu-lagu yang mesti ada dalam playlist anda!
Dalam bulan Oktober, ada beberapa band yang telah mengeluarkan rilisan-rilisan baharu. Untuk edisi kali ini, penulis ingin ketengahkan beberapa buah lagu baharu yang menjadi pilihan daripada band-band baharu dan lama. Jangan lupa strim, OK! Layan…
Pohon Sidra – Pujangga Diabolik
Pujangga Diabolik merupakan single kedua daripada kumpulan Pohon Sidra yang terdiri daripada bekas ahli kumpulan Komplot (yang telah disbanded pada tahun 2009). Baru-baru ini, kumpulan ini telah berkumpul semula dan bekerjasama dengan Ali Gecikarana sebagai vokalis.
Bagi mereka yang merindui Komplot, kemunculan Pohon Sidra sudah tentulah menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan. Menurut Pohon Sidra, Pujangga Diabolik merupakan satu melodrama yang berkisahkan mengenai kiasan ‘lidah dan pena adalah lebih tajam daripada mata pedang’.
Bait-bait lagu menggambarkan pertembungan antara penulis sebagai protagonis dan juga alter egonya sebagai antagonis, serta usaha penulis untuk terus optimis walaupun dilanda pelbagai bentuk cabaran dunia.
Jangan lupa untuk strim ‘Stratagem’, Pujangga Diabolik I’ dan ‘Pujangga Diabolik II’ di semua platform muzik yang ada!
Panasejook – Titik Mula feat. MYO
Selamat kembali Panasejook! Sungguh, kami sangat merindui rilisan baharu daripada band pop punk sebenar ini!
Secara amnya, Titik Mula merupakan satu lagu yang simple dan straightforward. Persoalannya cuma satu – Bila nak mula? Jangan asyik cakap sahaja, tapi tak buat apa-apa!
Menurut Amal, vokalis Panasejook, sebenarnya lagu ini dihasilkan secara tidak sengaja. Gitaris mereka, Fik, yang mula menulis intro untuk lagu ini. Tetapi, selepas dah jamming, satu band setuju untuk jadikan ia satu lagu. Rezeki band juga dapat berkolaborasi dengan Myo (Oh Chentaku dan Jemson).
Lebih mengujakan, peminat-peminat Panasejook boleh nantikan lebih banyak lagi rilisan pada masa hadapan!
Servants – Selamanya Bukan Milik Kita
Seandainya aku bisa, undurkan kembali masa. Ingin ku lalui semula, kenangan kita bersama…
Siapa yang tidak sukakan lagu cinta yang meleleh macam ni kan? Fakta menarik, Selamanya Bukan Milik Kita sebenarnya adalah lagu pertama Servants yang dinyanyikan dalam Bahasa Melayu!
Menurut Servants sendiri, dari sudut lirik, lagu ini menceritakan tentang penyesalan yang dialami selepas kehilangan orang yang tersayang dalam hidup. Jangan terlalu ambil mudah soal masa kerana pertemuan ini mungkin akan menjadi yang terakhir…
“Pada awalnya, kami tidak merancang untuk menulis lagu ini dalam bahasa ibunda. Tetapi, selepas mendapatkan melodinya, kami rasa lagu ini lebih sesuai dinyanyikan dalam Bahasa Melayu. Kami juga berharap agar lagu ini sesuai didengari oleh semua pendengar. Alhamdulillah, penerimaan orang ramai terhadap lagu ini sangat memberangsangkan.”
Cycryptic – Solitasi
Cycryptic, band deathcore/metalcore dari Perak kini kembali dengan rilisan baharu, Solitasi.
Menurut Cycryptic, fokus utama penghasilan lagu ini adalah untuk menghasilkan sesuatu yang berat namun masih boleh dimainkan secara akustik.
Solitasi juga sedikit berbeza dengan lagu-lagu sebelum ini yang agak ‘dark’ dan ‘evil’. Kali ini, Cycryptic lebih banyak bermain dengan rasa dan ingin menghasilkan sesuatu yang boleh menjentik emosi para pendengar.
“Kami juga telah bekerjasama dengan Lovise Lee yang telah menyuntik lebih banyak lagi emosi di dalam rilisan kali ini. Kami berharap agar lagu ini lebih relatable kepada semua. Moga rilisan kali ini membolehkan kami bermain rasa dengan para penonton, lebih-lebih lagi ketika live performance!”
Chlypdy – Kelabu
Menurut band Chlypdy, inspirasi untuk menulis ‘Kelabu’ ini datang daripada pemerhatian mereka sendiri mengenai apa yang berlaku di sekeliling mereka, terutamanya selepas pandemik COVID-19.
“Kami melihat segala kesusahan, kesedihan, kekecewaan dan kemurungan yang berlaku ketika COVID melanda. Pada waktu yang sama, kami melihat ramai juga manusia-manusia biasa yang turut menghadapi ujian yang sama tetapi masih sanggup menghulurkan tangan membantu kesusahan yang dihadapi insan lain.”
Chlypdy merupakan sebuah band indie rock yang membawa vibe ‘love & peace’. Band ini baharu ditubuhkan pada tahun 2019. Kelabu merupakan single kedua mereka selepas Sampai Bila.
* Artikel ini telah ditulis oleh Nur Fatin Zahra. Fatin adalah penulis bebas untuk Rakita.my. Rakita ingin mengucapkan terima kasih kepada Gard kerana sudi meluangkan masa untuk ditemubual.