Misteri Kematian Pelakon Kesayangan Negara Gajah Putih, Tangmo Nida

Minggu ini sahaja, kecoh diperkatakan mengenai kematian misteri aktres terkenal Thailand, Tangmo Nida atau nama sebenarnya, Nida Patcharaveerapong, 37. Nida “Tangmo” Patcharaveerapong ialah seorang pelakon TV dan filem yang popular. Dia membintangi filem, The Fallen Leaf, Ghost of Mae Nak, dan Pard 888 serta dalam siri Bangkok Love Stories: Innocence.

Menerusi laporan media Thailand sebelum ini, Tangmo Nida dipercayai terjatuh dari bot laju ketika dia bersama lima orang rakan termasuk pengurusnya, Kratik menuju ke Jambatan Rama VII di Nothaburi untuk menjamu selera. Pasukan penyelamat menjumpai mayat Nida yang dilihat terapung di sungai sekitar 300 meter dari Pibulsongkram Pier, Nonthaburi, Bangkok, kira-kira 1 kilometer dari lokasi dia terjatuh selepas dua hari. Mangsa yang terselamat memberikan keterangan mereka kepada balai polis Muang Nonthaburi pada hari Jumaat, 25 Februari.

Sumber: Chiang Rai Times

Namun, kes kematian ini masih belum terungkai lagi kerana pelbagai spekulasi dan persoalan yang timbul berhubung insiden berkenaan. Antaranya ialah hasil pemeriksaan forensik yang mendedahkan Nida mengalami luka dalam pada kaki kiri mangsa mungkin disebabkan oleh kipas bot tetapi forensik tidak memberikan sebarang petunjuk sama ada pelakon itu terjatuh dari bot, atau ditolak.

Selain itu, ibu mangsa iaitu Panida Sirayutthayothin yakin bahawa ada sesuatu yang cuba ‘disembunyikan’ mengenai kematian anak perempuannya itu. Bukan itu sahaja, Panida mendakwa kemungkinan berlakunya pertengkaran antara mangsa dan rakan-rakan yang berada dalam bot berkenaan. Panida mendakwa foto yang tersebar memperlihatkan wajah Tangmo Nida seperti sedang bersedih. Tidak terhenti di situ, ibu mangsa tertanya-tanya bagaimana anak perempuannya itu boleh lemas sedangkan dia pandai berenang.

Lebih menimbulkan persoalan ramai adalah jumlah foto yang dimuat naik di Instagram Tangmo Nida semakin berkurangan dan mengesyaki ada individu telah memadamkan beberapa gambar tersebut. Apabila ditanya kepada pengurus Tangmo Nida, dia mendakwa tidak tahu kata laluan pelakon berkenaan.

Menerusi temu bual dalam program di kaca televisyen, pengurus Tangmo Nida iaitu Kratik diminta untuk melakonkan semula kejadian yang berlaku di belakang bot secara langsung. Namun begitu ada suatu ketika, kedengaran Kratik seperti gagap saat memberikan kenyataan. Selepas mendengar kenyataan tersebut, pengacara meluahkan rasa sedih akan sikap kesemua rakan mangsa yang seolah-olah tidak peduli dan langsung tidak berusaha untuk menyelamatkan pelakon itu.

Sumber: Berita Perak

Sementara itu, jurucakap polis Pol Mej Jen Yingyos Thepchamnong pada Khamis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyiarkan atau memaparkan sebarang gambar mayat Tangmo, sebagai menghormati perasaan mendiang pelakon dan keluarganya. Apa-apapun kes ini masih lagi dalam siasatan polis Thailand.

Scroll to Top