Dendam Dua Tahun Akhirnya Terlunas di City ROARS Festival 2022

Persembahan muzik secara langsung kembali! Ini apa yang kami saksikan di City ROARS Festival 2022.

Sumber: EngHooi Teoh (Facebook)

Pentas besar untuk pemuzik besar!

Kerja keras sentiasa membuahkan hasil. Latihan berjam-jam dengan jiwa yang tidak berbelah bahagi kepada karya anda, jika diterjemahkan di atas pentas pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam pada penonton. Kesan tersebut kami dapat apabila menonton Lunadira, The Fatalis, Dirgahayu dan Sevencollar T-shirt. Pentas sebegini memang untuk mereka, dan sejujurnya mereka berhak untuk mendapat lebih lagi.

Kami ingin lihat lebih banyak lagi daripada Shelhiel

Sumber: EngHooi Teoh (Facebook)

Persembahan secara langsung adalah segalanya mengenai momen dan Shelhiel nampak selesa di atas pentas menghayati momennya. Setiap lagu adalah vibe dan setiap vibe adalah seperti perasaan yang tidak pernah mengecewakan. Kemuncak persembahan apabila Shelhiel membawa keluar Airliftz untuk lagu RUNNIN, MERINDU.

Malam ini milik Sweetass!

Bila Sweetass dapat peluang bermain di pentas seperti Zepp, tidak ada cara lain melainkan anda mesti pergi menonton. Persembahan mereka malam itu adalah satu kemenangan – kemenangan untuk tempat, penganjur, crowd yang penuh energi, dan untuk band itu sendiri.

Tugas sebagai headliner tenang dipikul Alang Sekitar. “Ada orang cakap lagu ini lagu racist, kepala hotak dia la!” Ucap Alang sebelum membawa lagu terakhir HARUAN CINA. Dialog-dialog selamba di atas pentas memang penuh dengan gaya seorang frontman rock n roll. Melalui permerhatian dan pendapat peribadi, Sweetass mungkin boleh jadi band rock n roll yang dicari, dan Alang mungkin boleh jadi Noh Hujan seterusnya.

* Selepas dua tahun pandemik COVID-19, Festival City Roars untuk edisi ketiga telah berlangsung di pentas Zepp Kuala Lumpur yang serba baharu. Menampilkan barisan pemuzik dan artis tempatan, veteran seperti Nice Stupid Playground, Seven Collar T-Shirt, Lunadira, Sweetass dan ramai lagi! Acara sehari tersebut dianjurkan oleh Mak Wai Ho, ketua City Roars dan label Soundscape – sebagai misi menjadikan Zepp hab budaya baharu muzik dan hiburan di Lembah Klang.

Scroll to Top