Siapa yang tidak kenal dengan Elvis Presley, Raja Rock & Roll dunia? Penyanyi yang mendendangkan lagu Jailhouse Rock, Can’t Help Falling in Love, Hound Dog dan Love Me Tender ini masih lagi popular walaupun sudah lebih 4 dekad pemergiannya. Dengan suaranya yang dalam dan lunak, Elvis kekal di atas takhta sebagai artis solo dengan jualan tertinggi sepanjang zaman, mengekalkan gelaran ‘king’ pada namanya.
Tidak ada penyanyi lain yang berjaya menggoncang dunia seperti Elvis. Juga dikenali sebagai seorang ‘musical rebel’ dan satu simbol seks, beliau merupakan seorang performer dengan personaliti yang unik. Berbekalkan wajah yang kacak, gerakan pinggul yang memukau, kostum yang berwarna-warni; tidak ada penyanyi sepertinya pada era 1950an.
Namun, seperti penyanyi lain, karier Elvis juga ada pasang surutnya yang tersendiri. Itulah yang cuba diketengahkan oleh Baz Luhrmann dalam filem arahannya yang terbaharu – Elvis.
Filem yang memutar kembali saat kanak-kanak Elvis yang ghairah meneroka muzik blues dan gospel di Mississippi dan Tennessee, sehinggalah beliau menjadi seorang bintang popular – biopik sepanjang 2 jam 40 minit ini cuba untuk menayangkan seluruh hidup Elvis di layar perak.
Walaupun filem ini telah menerima banyak pujian serta ulasan positif daripada banyak pihak, banyak juga kritikan pedas yang diterima oleh Luhrmann, terutamanya dari segi ketepatan fakta biopik tersebut.
Tidak dinafikan, Luhrmann seakan-akan mengambil ‘sisi positif’ bintang tersebut dan cuba untuk menunjukkan pada dunia ‘betapa baik’ dan ‘tersakitinya’ bintang lagenda ini.
Namun, bagi mereka yang mengenali Elvis, pasti mereka tahu betapa besarnya ego lagenda ini serta kengganannya untuk bergaul dengan penyanyi serta kugiran lain yang popular pada zamannya.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan beliau telah menjadi inspirasi beberapa nama besar seperti Bruce Springsteen, Prince, Bob Dylan dan sudah tentulah – John Lennon.
Malah, John Lennon juga pernah berkata, ‘tanpa Elvis, Beatles tidak akan wujud’. Begitulah besarnya impak bintang lagenda ini terhadap muzik pada zaman tersebut.
Elvis – Biopik penuh warna warni arahan Baz Luhrman
Tidak ada pengarah lain yang boleh menangkap semangat serta warna-warna Elvis jika bukan Baz Luhrmann, pengarah lagenda yang terlibat dengan pembikinan muzikal ‘Moulin Rouge’, filem epik sejarah ‘Australia’ dan ‘The Great Gatsby’ lakonan Leonardo DiCaprio.
Jatuh bangun Elvis dalam biopik ini ditayangkan menerusi kaca mata pengurus beliau, Colonel Tom Parker (Tom Hanks). Parker merupakan individu penting yang telah melonjakkan nama Elvis dan mungkin juga telah menjadi insan yang telah ‘membunuh’ Elvis pada akhirnya. Persoalan ini jugalah yang telah ditayangkan pada awal filem, lantas meletakkan Parker sebagai antagonis.
Pengaruh Parker dalam hidup Elvis sangatlah besar. Beliau telah mendapat 25 hingga 50% komisyen daripada Elvis dan mengaut jutaan dolar daripada jualan merchandise sahaja. Tom Hanks juga berkata, Parker merupakan ‘seorang penyangak yang genius’. Sejurus selepas kematian Elvis, Parker terpaksa berhadapan dengan saman demi saman, terutamanya dari The Presley Estate.
Elvis pula dilakonkan oleh Austin Butler, seorang pelakon muda yang boleh dikatakan telah berjaya menjiwai watak Elvis.
Lakonan beliau sangat meyakinkan, digabungkan pula dengan hasil garapan Baz Luhrmann yang terkenal dengan penggunaan warna-warna yang terang, zum kamera yang pantas dan kostum yang berani, boleh dikatakan rupa dan semangat beliau seakan-akan sama dengan bintang lagenda tersebut.
Walau bagaimanapun, seperti biopik lain, Elvis diharapkan dapat berdiri sama tinggi dengan Bohemian Rhapsody atau Rocketman. Filem ini bukannya tidak menarik. Cuma, ia kurang ‘punch’.
Disebabkan Luhrmann cuba untuk ‘menyumbat’ seberapa banyak peristiwa penting dalam hidup Elvis dalam sebuah filem berdurasi 2 jam 40 minit, pada tengah filem, penulis rasa sedikit bosan sebelum cerita mula klimaks kembali.
Malah, filem ini juga tidak menyentuh dengan mendalam mengenai hubungan lagenda ini dengan Priscilla Presley (Olivia DeJonge).
Malah, ada satu fakta penting yang Luhrmann abaikan mengenai hubungan merpati dua sejoli ini – salah satunya adalah berkenaan jarak umur mereka sebanyak 14 tahun. Bukan itu sahaja, Elvis dan Priscilla sebenarnya berjumpa di sebuah parti ketika Elvis berusia 24 tahun dan Priscilla pada waktu itu baru sahaja menginjak 14 tahun! Phew!
Elvis dan The Beatles, pernahkah mereka berjumpa?
Tidak dinafikan, Elvis merupakan salah satu inspirasi terbesar muzik awal The Beatles. Walau bagaimanapun, menurut Priscilla, Elvis bukanlah seorang yang ramah. Malah, beliau melihat Hollywood sebagai satu tempat yang dipenuhi oleh orang yang berpura-pura (saw Hollywood as the home of phonies).
Elvis pada awalnya enggan berjumpa dengan The Beatles walaupun kugiran tersebut telah berkali-kali menyuarakan kekaguman mereka terhadap lagenda tersebut. Walaupun Elvis mungkin ‘tidak suka’ dengan The Beatles, beliau masih lagi menghormati perjalanan seni serta cara kugiran tersebut meraih populariti.
Sikap ‘anti sosial’ ini bukanlah sesuatu yang asing mengenai Elvis. Tambah Priscilla lagi, Elvis mungkin enggan berjumpa The Beatles kerana menganggap mereka sebagai ‘ancaman’ terbesar kepada status ‘king’ beliau.
Namun, kedua-dua lagenda ini akhirnya berjumpa pada 27 Ogos 1965 di kediaman Elvis di Bel Air, California.
Tuhan sahajalah yang tahu apa yang berlaku ketika itu kerana tidak ada seorang pun wartawan yang dibenarkan masuk ke kediaman Elvis. Namun, Elvis dan The Beatles dikatakan telah jamming sekali, dan mereka menyanyikan beberapa buah lagu Elvis, lagu Beatles sendiri dan juga lagu Chuck Berry sebelum diarahkan pulang oleh Parker.
Tonton filem Elvis, berbaloi atau tidak?
Bagi penulis, filem Elvis yang sedang ditayangkan di pawagam sekarang sesuai untuk tontonan semua, tidak kiralah sama ada anda merupakan ‘kipas susah mati’ Elvis atau langsung tidak mengenali sosok lagenda ini.
Bak kata pepatah, tidak kenal maka tidak cinta. Jadi, buat penggemar filem di luar sana, biopik garapan Baz Luhrmann ini perlu ditonton dan sangat menghiburkan. Malah, tidak rugi jika anda cuba mendalami karier Elvis dan populariti beliau yang berkekalan berdekad-dekad lamanya.
* Artikel ini telah ditulis oleh Nur Fatin Zahra. Fatin adalah penulis bebas untuk Rakita.my