Menyingkap rahsia kemunculan semula, harapan serta visi masa hadapan Tres Empre.
Selamat kembali, Tres Empre!
Kami pasti, ramai yang merindui band post hardcore dari Kuala Lumpur ini. Rentetan rilisan terbaharu mereka ‘Kejar Tuhan’ dan ‘Tatkala’, mari ikuti temu bual eksklusif kami bersama Eddie (vokalis) dan Azrul (gitaris) mengenai material baharu mereka, mengapa mereka mengambil keputusan untuk melakukan kemunculan semula dan serba sedikit arah tuju Tres Empre selepas ini.
Setelah lama menyepi, ramai yang terkejut dengan comeback oleh Tres Empre. Apa yang memberi inspirasi kepada Tres Empre untuk melakukan kemunculan semula?
Eddie: Sebenarnya, kami tidak pernah terfikir untuk melakukan kemunculan semula. Lagipun, ahli band sendiri pun sudah lama tak berjumpa. Namun, pada awal pandemik, kami berpeluang untuk bersemuka dan bertanya khabar. Selepas itu, kami mula jamming. Tapi, jamming pun biasa-biasa je. Kami lepak hanya for fun. Tapi, lama-kelamaan, kami mula berminat untuk hasilkan sesuatu yang baharu untuk Tres Empre.
Azrul: Macam apa yang Eddie cakap, kami memang tak terfikir untuk lakukan comeback. Malah, tak pernah ada perbincangan tentang ini. No such thing. Bagi kami, Tres merupakan satu ‘outlet’ untuk kami menyalurkan semua idea-idea kreatif kami. Itulah tujuan kami yang sebenar. Tidak ada sebarang rancangan untuk melakukan comeback.
Eddie: Bagi kami, ia merupakan satu isu yang besar apabila orang mula berkata kami ingin melakukan kemunculan semula. Sebabnya, kami pada awalnya hanya ingin berkarya, pergi jamming dan lepak dengan bandmates. Tetapi, bila kami mula masuk studio, mulalah rasa nak ‘berlaga jiwa’ dan berkarya semula. Macam apa yang Azrul cakap, kami ingin kembali menjadi kreatif. Ini adalah fokus utama kami. Lagipun, kami rasa kemunculan semula Tres lebih kepada satu ‘get together’. Ia lebih santai daripada memangginya sebagai satu ‘comeback’.
Berikutan rilisan terbaharu Tres Empre ‘Kejar Tuhan’ dan ‘Tatkala’, boleh kongsi sedikit kisah di sebalik kedua-dua lagu ini?
Eddie: Kerja-kerja penulisan untuk lagu ‘Kejar Tuhan’ dan ‘Tatkala’ sebenarnya dah lama. Kami sudah mula menulis lagu ini, dan juga lagu-lagu untuk rilisan akan datang sejak pandemik lagi. Namun, disebabkan pandemik sendiri menjadi halangan, kami terpaksa tangguhkan semua perancangan buat sementara waktu. Hanya pada waktu ini kami berpeluang untuk release lagu-lagu yang kami sudah usahakan selama ini.
Ada sebarang rancangan untuk terbitkan album baharu?
Azrul: Dalam masa terdekat, kami mungkin tidak akan menghasilkan album baharu. Namun, kami ada rancangan untuk menghasilkan EP.
Eddie: Untuk fasa ini, kami juga lebih memfokuskan pada eksperimentasi dalam penulisan dan bunyi-bunyi baharu. Kali ini, kami mengambil pendekatan yang lebih santai dan ingin fokus pada perkara-perkara yang kami nyatakan tadi lebih daripada penghasilan album baharu.
Bagaimana pula dengan tour? Ada sebarang perancangan untuk melakukan tour pada masa hadapan?
Eddie: Kalau diberi peluang, Insya Allah, band mana yang tak nak tour kan?
Selepas sudah lama mendiamkan diri, apa perasaan Tres Empre selepas diundang untuk menyertai pelbagai konsert besar?
Eddie: Sudah tentulah kami rasa lebih gemuruh daripada biasa. Lagipun, kami sudah lama tidak tampil memberikan persembahan. Pada masa yang sama, kami masih lagi dalam fasa ‘mengenal semula’ muzik dan mencari keseimbangan dalam band. Walaupun kami agak nervous, kami akan cuba beri yang terbaik untuk semua.
Berbeza daripada material sebelum ini, rilisan terbaharu Tres Empre kedengaran lebih berat, provokatif, dan ketuhanan. Adakah ini direction muzik baru Tres Empre?
Eddie: Dari segi penulisan lirik, saya rasa gaya penulisannya masih sama seperti apa yang Tres Empre bawakan sebelum ini. Cuma perbezaannya mungkin dari segi pandangan dan pengalaman yang lebih mendewasakan. Seperti yang kami katakan sebelum ini, dari segi muzik, kami masih ingin terus bereksperimentasi dan mencuba perkara-perkara baharu.
Azrul: Dari segi direction pula, tidak dinafikan hala tuju Tres sekarang lebih bebas. Kami tidak menyasarkan pendegar yang spesifik dari golongan tertentu atau sebarang anugerah atau award. Apa yang kami lakukan sekarang, itulah direction kami.
Bagaimana pula dengan line-up Tres Empre. Masih bersama ahli band yang lama atau ada perubahan?
Azrul: Dari segi line-up, ada sedikit perubahan. Namun, ia masih lagi dibarisi orang-orang yang dekat dengan Tres Empre. Kami ada Fit sebagai drummer dan Wan sebagai gitaris.
Eddie: Fitri dan Hazwan sudah lama bersama kami sejak awal penubuhan Tres Empre lagi. Cuma baru sekarang kami ada rezeki untuk bermain di atas satu pentas yang sama.
Pasti Tres Empre sendiri nampak kemeriahan dalam scene pada waktu pasca-Covid. Walaupun begitu, tidak dinafikan juga dalam kemeriahan ini ada banyak halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh penggiat muzik di negara kita. Apa pendapat Tres Empre tentang landskap scene sekarang?
Azrul: Dari segi kemeriahan scene, tidak dinafikan scene sekarang memang meriah. Namun, dari segi halangan, sebenarnya dari dulu lagi ada banyak halangan-halangan yang kami sebagai penggiat muzik terpaksa tempuhi. Namun, lebih baik kami fokus pada perkara-perkara yang kami boleh kawal. Bak kata Fourtwnty – kita harus saling mendukung. Jika kita sama-sama saling bantu satu sama lain, pasti scene akan terus hidup dan semakin meriah.
Eddie: Benar, dari dulu lagi scene tak pernah mati. Namun, selepas Covid, scene nampak lebih meriah kerana penggiat seni dibenarkan untuk perform dan melakukan persembahan. Tetapi, semasa pendemik berlangsung, ramai penggiat muzik masih lagi berkarya. Ada banyak juga rilisan baharu yang dikeluarkan. Cuma, selepas pandemik berakhir, ada yang pilih untuk berehat sebentar. Ada juga yang masih giat mempromosikan karya-karya mereka. Bagi saya, landskap muzik sama sahaja. Penggiat muzik masih akan terus berkarya, sampai bila-bila.
Ramai fans di luar sana yang sangat merindui Tres Empre. Kata-kata akhir untuk mereka di luar sana?
Eddie: Untuk fans dan supporters Tres Empre; salam sejahtera ke atas kalian semua. Terima kasih atas semua sokongan semasa kami sedang ‘membina’. Harap semuanya akan dibalas dengan kebaikan.
* Artikel ini telah ditulis oleh Nur Fatin Zahra. Fatin adalah penulis bebas untuk Rakita.my