Sebuah projek khas untuk kawan-kawan dan juga keluarga SLATAN
Kali ini, kami berbesar hati untuk menemu bual Gard dan mengupas sedikit sebanyak mengenai pembikinan album SKL, perjalanan SLATAN dan SKL Day.
Tahniah atas rilisan SKL & event SKL Day! Macam mana Gard lihat keseluruhan album dan event tersebut?
Gard: Pertama sekali, saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam proses pembikinan SKL, juga kepada semua yang percaya pada SLATAN sejak hari pertama kami bermula. Kami tidak sabar untuk tunjukkan pada dunia, apa yang SLATAN telah bertungkus lumus hasilkan selama ini.
Saya akui, saya agak terkejut sewaktu SKL Day dijalankan. Ramai anak muda dari negeri yang berbeza datang dari jauh semata-mata untuk memeriahkan event tersebut. Malah, crowd juga turut sing along lagu-lagu dari album SKL yang pada masa itu masih belum dilancarkan lagi.
Kami sangat bersyukur, semuanya berjalan dengan lancar. Kepada semua yang hadir pada malam tersebut, saya ingin ucapkan terima kasih. SKL adalah untuk semua. Saya juga tidak sabar untuk hadiahkan album SKL untuk SLATAN dan juga semua.
Kongsikan kepada kami tentang album SKL – Idea, macam mana bermula, tunggak utama?
Gard: Kami rasa, sudah tiba masa untuk SLATAN melebarkan sayap dan mula bekerjasama dengan artis yang lain. Saya percaya, album SKL merupakan langkah pertama kami untuk ubah apa yang sedia ada dalam industri muzik Malaysia.
Producer dalam album SKL ialah Wuzgut, Maatjet dan LastKhalif. Kali ini, kami mengambil konsep friends & family.
Bagaimana proses tersebut berlangsung – berapa lama ambil masa, cabaran, nak kumpulkan semua rappers?
Gard: Dari segi proses, kebanyakan yang join adalah dalam kalangan kawan-kawan dan keluarga sendiri. Kami ambil masa hanya 1 malam untuk buat album tersebut di FARENH8, Kuala Lumpur.
Untuk Gard sendiri, macam mana Gard rate album ini? Track pilihan Gard dalam album?
Gard: Kalau ditanya track pilihan saya dalam SKL ialah ELITE, sebab dalam track tersebut ada AP favourite saya.
Bagi orang yang masih tidak mengenali, apakah itu SLATAN 0108? Ahli-ahlinya?
Gard: Dalam SLATAN kita ada Ap Offgrid, Wuzgut, Gard, Quai, Shilky, Bg Rabbit, Nobi, John Nasa, Akkimwaru, Maatjet dan Jay Station.
Konsep SLATAN dari segi lingua bahasa, meme, visual sangat unik dan rasa dekat dengan Malaysia. Adakah itu sesuatu yang SLATAN ingin bawa sampai bila-bila?
Gard: Benar, seperti yang saya katakan sebelum ini, SLATAN merupakan satu projek yang dijalankan sesama kawan-kawan dan keluarga. Ini merupakan sesuatu yang kami ingin kekalkan.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kerana memahami kami. Saya dapat lihat bagaimana SLATAN bertatih, berjalan dan kini sudah pandai terbang. Kami juga berharap agar anak Malaysia semakin giat berkarya dan tidak segan untuk luahkan seni.
Apakah top lagu sendiri yang Gard suka?
Gard: Kalau ditanya lagu sendiri yang mana saya suka, saya akan pilih lagu LEBIHDEKAT – Gard & Wuzgut. Bagi saya, proses penghasilan lagu ini sangat sempurna.
Sewaktu pembikinan lagu ini, SLATAN telah berkampung di Makmal Kampung Batu dan belajar sendiri dengan pemilik studio tersebut, Encik MonoloQue. Jadi, lagu ini rasa istimewa dan lebih dekat dengan diri saya.
Dari segi penulisan, topik dan irama lagu itu sendiri lebih mesra pendengar. Bagi saya, lagu ini sangat versatil – kita boleh dengar lagu ini tidak kira masa atau cuaca. Selain itu, saya juga sukakan lagu RUMAH BESAR dan SENJA. Semua lagu-lagu ini juga mempunyai tempat khas dalam hati saya.
* Artikel ini telah ditulis oleh Nur Fatin Zahra. Fatin adalah penulis bebas untuk Rakita.my. Rakita ingin mengucapkan terima kasih kepada Gard kerana sudi meluangkan masa untuk ditemubual.