Adakah Stem Player Merupakan Masa Depan Industri Muzik?

Anda sanggup membayar $200 untuk stem player Ye, “Donda 2?” Jika ya, saya ada banyak soalan untuk anda.

Ahli perniagaan, rapper, produser, artis dan bintang, Ye baru-baru ini telah mengadakan parti mendengar untuk album terbarunya, “Donda 2.” Kanye yang terkenal sebagai seorang yang berevolusi, unik, dan inovatif dalam setiap rilisannya telah mengambil langkah untuk mengeluarkan album tersebut dalam bentuk stem player yang berharga $200.

Tidak menghairankan bahawa Ye ingin mencipta cara untuk mengganggu platform penstriman muzik — dia dilaporkan telah menolak $100 juta daripada Apple Music, dan turut mengumumkan di laman Instagram bahawa tidak membenarkan Apple, Amazon, Spotify, atau YouTube untuk memaparkan album baharunya di platform tersebut. Langkah yang saya kira sangat berani untuk menghubungkan peminat dengan lagu-lagunya.

“Donda 2 hanya akan berada di platform saya sendiri, Stem Player,” kata Ye di Instagram yang turut menyalahkan “sistem yang menindas” iaitu platform penstriman muzik. Menurut Ye lagi platform tersebut menyebabkan artis memperoleh peratusan wang yang menyedihkan daripada jumlah sebenar yang dihasilkan.

“Sudah tiba masanya untuk membebaskan muzik daripada sistem yang menindas ini. Tiba masanya untuk mengawal dan membina sendiri. Pergi ke stemplayer.com sekarang untuk memesan.” Tambahnya lagi.

Apa Itu Stem Player?

Stem Player. Sumber: The Verge

Stem Player adalah alat peranti (device), secara asasnya memberi kelebihan kepada anda untuk mengasingkan vokal, dram, bass, sampel dan aspek lain lagu untuk menambah kesan, mengawal kelantangan dan kelajuan serta mencipta gabungan muzik anda sendiri.

Peranti Ye, yang dicipta tahun lepas dengan kerjasama Kano Computing, dilengkapi dengan campuran audio, efek sentuhan seperti mini mixing desk, storan 8GB, port USB-C, Bluetooth dan pembesar suara 97db. Malah terdapat juga forum Discord untuk peranti itu, dengan lebih daripada 11,000 pengguna dalam talian buat masa ini.

Terdapat banyak sebab untuk menolak platform penstriman muzik, yang terkenal kerana melayan artis dengan teruk. Tidak dinafikan hal ini mungkin akan menjadi pencetus kreativiti atau cara bagi artis lain untuk mengawal cara peminat mereka mendengar muzik. Tetapi adakah berbaloi buat peminat untuk membayar harga yang tinggi untuk Stem Player?

Apa yang kami mungkin boleh jangkakan di sini, peminat tegar yang mempunyai kuasa wang akan membeli stem player “Donda 2”, manakala selebihnya mungkin akan memuat turun secara haram seperti di zaman 2008.

Scroll to Top